JOHOR BAHRU 11 Mac - Pengorbanan seorang jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengambil cuti sembilan bulan tanpa gaji bagi memastikan anaknya yang kurang upaya bersedia untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), nyata berbaloi.
Usaha gigih Zainab Sohod, 46, membantu Rehana Bakhrudin, 20, membuahkan hasil apabila anak sulungnya itu diumumkan sebagai salah seorang penerima anugerah pelajar cemerlang kategori calon istimewa.
Baginya, kejayaan Rehana yang mendapat 1A (Agama Islam), 1B (Sains), 4C (Bahasa Melayu, Sejarah, Perdagangan dan Matematik) dan 2D (Ekonomi dan Bahasa Inggeris) adalah hadiah kepada dia dan suaminya memandangkan keadaan diri anaknya tidak seperti insan normal lain.
Rehana yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak kecil berkomunikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan komputer dengan ahli keluarga, guru dan rakan-rakannya.
"Saya sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang diperoleh. Terkejut dengan pencapaiannya, namun saya dan suami sangat gembira.
"Semoga kejayaannya itu menjadi teladan kepada adik-adiknya nanti," katanya semasa ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2009 di sini hari ini.
Turut menerima anugerah sama ialah K.V Nadeera dari Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Convent, Mohamad Saifuddin Ishak (Maktab Sultan Abu Bakar) dan Lo Yee Wah (Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indera Putra Kulai).
Zainab memberitahu, tempoh sembilan bulan itu digunakan sepenuhnya untuk menghantar dan menjemput Rehana pergi dan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara 2.
Menurutnya, anaknya itu tidak pernah mengambil kelas tambahan melainkan bergantung sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah, buku rujukan, latihan dan kerja rumah.
"Rehana sudah belajar menggunakan komputer sejak berusia sembilan tahun manakala semasa belajar di sekolah, dia akan menggunakan komputer riba untuk berkomunikasi dengan guru dan rakannya," katanya.
Penyakit Cerebral palsy merupakan sejenis kekacauan atau gangguan kendalian terhadap fungsi motorik disebabkan oleh kerosakan pada otak yang sedang berkembang.
Search This Blog
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment