Klik pada iklan dibawah untuk membantu kami mendapatkan dana tiada bayaran dikenakan keatas anda

Search This Blog

Wednesday, March 17, 2010

Pencapaian guru OKU jadi kebanggaan

SEREMBAN 10 Mac - Cikgu Katijah Abu Samah merupakan ikon kepada orang kurang upaya (OKU) di negeri ini dan beliau kini menjadi contoh terbaik dalam pencapaian akademik, kerjaya dan kesungguhan, demikian rumusan dibuat oleh bekas Ketua Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Shafie Mohd. Noor.

Shafie juga menyifatkan survival Katijah merupakan sesuatu yang dikagumi, malah kesungguhan yang dibuktikan untuk mendidik bangsa Malaysia biarpun dirinya cacat, merupakan satu usaha yang memerlukan daya saing yang tinggi.

''Dia yang menawarkan diri untuk mengajar pelajar pendidikan khas. Ini kerana nalurinya begitu, mungkin disebabkan dia juga merupakan insan OKU. Dia lebih memahami hati dan perasaan pelajar berkenaan," katanya.

Shafie yang kini merupakan Ketua Unit Perhubungan JPNS berkata, Katijah telah menunjukkan pencapaian cemerlang, malahan prestasinya jauh lebih baik berbanding sesetengah guru normal.

''Cuba lihat bagaimana dia mampu mengawal pelajar yang lemah, hyperaktif, sindrom Down dan autisme serentak. Dia mampu mengadunkan semua itu dan menjadikan pelajarnya mudah memahami teknik pengajarannya," katanya.

Tambahnya, kejayaan Katijah sepatutnya menjadi cerminan kepada guru normal untuk mencontohi jati diri, kesungguhan dan kejayaan yang dicapai itu.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Ja'afar, Zaleha Siran, 55, pula berkata, Katijah seorang yang gigih dan sewajarnya beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh OKU Wanita peringkat negeri baru-baru ini.

''Dia mempunyai kelebihan untuk mengajar pelajar normal dan OKU. Malahan dalam banyak aktiviti di sekolah dia tidak pernah ketinggalan dan sama-sama menyumbang khidmatnya," katanya.

Tambah Zaleha, kejayaan Katijah memberi galakan kepada pelajar sekolah ini untuk mencontohi kesungguhannya, malahan kerap kali dia dijadikan contoh kepada pelajar normal untuk berjaya.

''Dia pernah menjadi pengadil bola jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah peringkat OKU," katanya.

Sementara itu dua pelajarnya, Mohd. Akil Nazhan Rahman, 16, dan Nur Hidayah Zaini, 13, menyifatkan Katijah seorang yang baik dan amat disenangi.

''Saya suka Cikgu Katijah. Dia baik, pandai dan banyak berpesan untuk belajar bersungguh-sungguh," kata Mohd. Akil.

Kata Nur Hidayah yang juga pelajar pendidikan khas di sekolah itu, dia menjadikan Katijah sebagai idolanya dan mahu berjaya sepertinya.

Dalam pada itu, suami Katijah, Abdul Halim Hapiz Md. Yusop, 34, yang merupakan insan istimewa berkata, beliau berbangga dengan pencapaian isterinya dan amat memahami semangatnya yang gigih.

''Kalau dia mahukan sesuatu, pasti akan berusaha gigih untuk mendapatkan kejayaannya.

''Jika dia ada masalah, kami akan berkongsi bersama untuk menyelesaikannya. Dalam kerjayanya pula, sebagai guru dia mahu memastikan pelajarnya berjaya dan lebih baik daripadanya," kata Abdul Halim Hapiz yang mengusahakan perniagaan sendiri.

Tambahnya, walaupun isterinya cacat kaki, beliau mampu memandu sendiri, bekerja dan berdikari serta menjaga anak mereka, Muhammad Iman Naim yang berusia dua tahun enam bulan dengan baik.

''Di rumah, dia adalah isteri dan ibu yang baik dan di sekolah pula, sudah tentulah saya mendoakan kejayaannya untuk menjadi pendorong kejayaan kepada pelajar dan insan normal yang lain," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Sila Klik iklan dibawah untuk membantu kami mendapatkan dana